"Jadilah bunga yang terpelihara,kerana mahligai syurga itulah tempatnya..."

Wednesday, March 24, 2010

~Pintu Taubat Masih Lagi Terbuka~

Setiap manusia tidak pernah lekang daripada dosa. Hanya berbeza samada melakukan dosa besar atau kecil. Manakala sifat manusia itu ialah lupa atau lalai. Diperingkat umur muda, kelalaian dan lupa itu amatlah ketara. Kelemahan yang ada ini menyebabkan remaja adakalanya melampaui batas dan melanggar pedoman Allah s.w.t. Perlakuan dosa yang diulang-ulang secara sedar membentuk titik-titik hitam dalam hati. Terlalu banyak titik hitam menyebabkan warna hati bertukar menjadi gelap. Secara rohaniahnya, titik-titik hitam yang tidak dibersihkan akan menyebabkan lebih banyak kelalaian.

Hati orang muda ibarat sebuah cermin. Cermin yang baik ialah cermin yang ada kilauan. Cermin yang jernih memantulkan imej wajah yang jernih. Oleh itu, marilah kita kembali kepada Allah dengan jalan taubat. Lakukanlah ia dengan penuh keikhlasan dan kejujuran diri. Dosa kita dengan manusia lain harus diselesaikan sesama manusia. Dosa terhadap Allah harus langsung kepada-Nya. Mereka yang bertaubat dan berazam melakukan kebaikan dan amal yang bermanfaat dalam hidup ibarat seorang anak yang lahir semula.


Bertaubatlah sebelum terlambat kerana Allah s.w.t itu Maha Penerima Taubat dari hamba-Nya. Dialah Tuhan yang benar lagi Maha Pengasih dan Maha Penyayang...

*juga ingatan buat diriku...

MUSLIMAH SEJATI

Mutiara yang bersinar dapat dilihat dari kejauhan oleh penghuni langit adalah wanita solehah..Muslimah yang sejati ini menjadi perhiasan hakiki di dunia yang memperindahkan bumi dan mendamaikan segala keadaan. Tidak keterlaluan dia adalah dikalangan penyelamat dunia. Tanpanya dunia akan terus-terusan bergelombang bencana.
Ciri-ciri Muslimah sejati adalah mereka ini akan menghiasi peribadinya dengan budi pekerti yang luhur dan keimanan yang murni. Fitrah kasih saying tersimpan dalam perasaannya yang halus sehingga membuahkan kelembutan dan kehalusan perasaan insaniah. Jika sentiasa dijaga dengan didikan syariah, mereka akan menghiasi taman syurgawi di akhirat..
Alangkah indahnya dunia ini jika dihiasi muslimah solehah yang berpegang teguh dengan ajaran kesucian (islam) dan menghiasi bibirnya dengan perkataan mulia dan berzikir. Hatinya tunduk dan patuh dengan perintah Allah. Menjalankan kewajipan insani sesuai dengan ketentuanNya. Muslimah sejati bagaikan bunga yang mekar menguntum menceriakan suasana dan taman-taman..
Personaliti wanita idaman bagaikan kiambang bertaut setelah biduk berlalu. Betapapun cabaran dan dugaan yang mendatang, namun kebulatan tekad menyatukan kembali hasrat kebenaran di dalam nurani. Ketaatan menyejukkan kalbu, bagaikan titisan embun pagi yang dingin sehingga menjadi suri teladan generasi akan datang.
Wanita solehah merupakan calon penghuni syurga, menjadi dambaan insan yang beriman. Mereka bagaikan teratai mekar di tasik madu. Keindahan akhlaknya memancarkan keluhuran nurani, menyejukkan hati dan penyeri budi pekerti.
Semoga menjadi pedoman wanita yang ingin menjadi remaja cemerlang, isteri solehah dan ibu yang penyayang…

Insya-Allah..amiiinn

TEMUDUGA...

SEMUA DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN KEKOSONGAN JAWATAN:
A) Ahli Syurga Dari Awal.
B) Ahli Neraka Dari Awal.
C) Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

EMPAT GANJARAN LUMAYAN
(khas untuk jawatan A)
1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi..

TARIKH TEMUDUGA:
Bila-bila masa secara langsung ataupun tidak langsung, bermula dari saat
membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA:
Di dalam kubur(alam barzakh)

KELAYAKAN:
Anda tidak perlu bawa sijil-sijil.
Anda tidak perlu bawa pingat.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta.
Anda tidak perlu berparas rupa yang cantik,
hensem atau berbadan tegap dan seksi.
Sila bawa dokumen asal Iman dan Amal.

PANEL/PENEMUDUGA:
Munkar dan Nakir.

6 SOALAN BOCOR:
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apakah Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Dimana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?

CARA MEMOHON:
Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda bila-bila masa saja(mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang yang tertentu dan akan bengis kepada orang yang tertentu.





TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:

Hadis hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini:

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara terompah (kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan di sebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan di hujung kedua kakinya.

Dia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat: dari arasku tiada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya: dari arasku tiada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya: dari arasku tiada jalan masuk. Kemudian didatangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal kebajikan: di bahagianku tidak ada jalan masuk.

Maka Malaikat berkata kepadanya:
Duduklah kamu. Kepadanya(mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu: Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki(Muhammad) yang kamu dulu sentiasa bercakap tentangnya dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya?
Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu adalah Nabi Muhammad s.a.w dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah s.w.t yang membawa kebenaran daripada Allah s.w.t.

Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya, itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya”

Nampaknya pertahanan kita perlu kuat dari semua aras (kepala,kanan.kiri dan hujung kaki)

Wallahualam.. Semoga berjaya di dalam temuduga ini…..

Thursday, March 18, 2010

Muhasabah diri

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk menulis di blog ini.. agak lama tidak menulis. Kali ini inginku kongsikan pengalaman ku menerusi kembara di bumi Allah ini. Banyak yang dapat ku lihat sepanjang kembara ini.. keseronokan,kesedihan jelas terpancar di raut wajah insan-insan yang ke temui.. pengalamanku bertemu dengan insan yang tidak berdaya akibat serangan strok. Seorang warga emas yang ku anggarkan umurnya 70 tahun seorang diri di rumahnya. Tertanya aku, dimanakah anaknya? Tinggal dengan siapa nenek ini? Hanya Allah yang mengetahui apa yang tersirat.
Ya Allah, sempatkah aku untuk berbakti kepada kedua orang tuaku? Kau lindungilah mereka. Kau tetapkanlah hatiku agar dapat berbakti kepada mak dan ayahku..
Wahai anak-anak diluar sana, jagalah ibu ayahmu selagi ada hayat mereka..

Monday, March 1, 2010

MANA MILIK KITA-RABBANI

Mana milik kita?
Tidak ada milik kita
Semua yang ada Allah yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya
Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya
Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya
Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita
Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada
Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya
Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya
Patut bersyukur kepada Allah Yang memberi segalanya
Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya
Janganlah berbangga Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa
Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya
Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada Allah
Bukan mengungkit jasa
Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya